Rabu, 12 September 2012

Berintegriti didik anak bangsa



Oleh MOHD SAIFUL MOHD SAHAK

pendidikan@utusan.com.my

Bakal guru digesa supaya tidak melihat isu integriti sebagai sesuatu yang remeh sebaliknya konsep itu perlu dipertingkatkan apabila memulakan tugas sebagai pendidik kelak.
Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Shaari Osman berkata, dalam usaha melonjakkan prestasi pendidikan, aspek integriti tidak dapat dipisahkan malah saling berkait rapat dalam menjana modal insan yang cemerlang.
Justeru, katanya, konsep itu juga bukan sekadar dilihat dalam aspek pencegahan penyelewengan dan rasuah semata-mata malah ia meliputi keberkesanan dalam mendidik dan kebolehupayaan melaksanakan tugas mereka.
"Kita ingin melihat bahawa konsep integriti ini bukan hanya dilihat sebagai usaha untuk mencegah rasuah dan sebagainya sebaliknya ia dilihat sebagai satu elemen yang mampu memberi kesan mendalam kepada bakal guru-guru di institut ini.
"Pelbagai usaha yang dijalankan oleh semua pihak dengan penuh integriti, kita yakin ia mampu melonjakkan tahap pendidikan negara," katanya.
Belia berkata demikian ketika berucap pada majlis Seminar Integriti Warga Pendidik IPG Kampus Ilmu Khas di kampus itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Shaari berkata, tugas menyemarakkan integriti dalam masyarakat perlu dipikul oleh semua pihak terutamanya warga pendidik.
"Kita mahu melihat supaya sekolah dijadikan sebagai tempat lahirnya golongan berintegriti hasil didikan bakal-bakal guru di institut ini . Kita yakin sekiranya komitmen ini diberikan usaha ini akan mencapai matlamatnya," katanya.
Beliau berkata, guru juga perlu bersedia melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan seiring keperluan semasa yang mencabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan